Monday, March 10, 2008

KULIYYAH


KULIAH MARA'AH : FIQH SOLAT

AJK ISMA Bahagian IPT juga tidak melepaskan peluang untuk bersama pelajar di UNITI untuk manfaatkan cuti umum dalam membicarakan pasal hukum-hakam Solat yang menjadi tiang agama.
Program bersama EPIK di Ixora banyak mengajar ISMA Bahagian IPT agar sentiasa mencari peluang bersama pelajar membimbing pelajar agar memahami Islam di semua sudut. Program tersebut dihadiri lebih kurang 50 orang siswi dari pelbagai bidang pengkhususan.
Program selama sehari ini dimulakan dengan penceritaan daripada Ustazah Hayati Mohd Zari berkenaan dalil daripada Al-Quran dan Sunnah tentang keistimewaan solat. Peserta juga dihidangkan dengan banyaknya hikmah-hikmah solat yang boleh diperolehi sekiranya ia dilaksanakan dengan betul. Penceramah turut menyelitkan sedikit maklumat daripada hasil kajian Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika yang menyimpulkan bahawa mereka yang tidur lima jam setiap malam hidup lebih lama daripada mereka yang tidur lebih daripada lapan jam. Berdasarkan kajian ini, penceramah menekankan: “Sekiranya kita masuk tidur jam 11.00 malam dan bangun pada jam 5.30 pagi untuk bertahajud dan solat subuh, tidurnya yang enam setengah jam itu sudah termasuk dalam kategori yang menyihatkan”.
Keasyikan peserta dalam memahami ilmu Solat disambung semula di sebelah petang dengan kupasan buku yang semakin laris di pasaran; “Bio-Mekanik Solat” oleh pengarangnya sendiri; Dr Yusof Abbas. Walaupun hanya empat teknik sahaja yang sempat dikupas, ianya amat bermakna kerana peserta berkesempatan membuat latihan bersama-sama penceramah. Empat teknik tersebut adalah Penetapan Minda dan Emosi, Perlaziman Minda, Teknik Pembacaan dan Teknik Pendengaran. Keghairahan peserta untuk mengaplikasikannya di dalam solat masing-masing terlihat dengan larisnya penjualan buku berkenaan. Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi di lain masa dengan perbincangan yang akan menambahkan lagi pelajar dengan pemahaman penghayatan Islam.

No comments:

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH...
Perjalanan ini masih jauh.. langkah perlu diatur dengan teliti. Kuatkan semangatmu, cekalkan hati agar mampu mengadap Allah Rabbul izzati dengan jiwa yang tenang bersama kemenangan atau syahid!!