Wednesday, May 27, 2009

SAUDARI NABILAH HUDA KEMBALI KE JORDAN

Enam bulan yang lalu kita pernah dikhabarkan dengan berita saudari Nabilah Huda bt. Zaim yang terpaksa pulang ke tanah air dari bumi Jordan, kerana telah disahkan sebagai mengidap penyakit leukimea. Ibu bapanya En Zaim dan Puan Norazlina terpaksa terbang ke Jordan dengan segera ketika itu untuk menguruskan beliau yang sudah pun berada di wad rawatan rapi di sebuah hospital di Jordan.

kbaz dll 627

Akhirnya beliau terpaksa dibawa pulang ke Malaysia dan menangguhkan pengajian di sana untuk mendapatkan rawatan lanjut di dalam negara. Alhamdulillah dengan berkat usaha , doa dan izin dari Allah kesihatan Nabilah Huda semakin stabil setelah mendapat rawatan secara berterusan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Dengan semangat beliau yang tak pernah luntur beliau telah mengambil keputusan untuk menyambung semula pengajian yang tertangguh di dalam bidang pengajian Syariah di Universiti Al Yarmouk, Jordan. Doakan semuga beliau berjaya menghabiskan pengajian yang masih berbaki setahun enam bulan.

Sebelum berangkat beliau telah sempat menemui para pelajar yang bakal menyambung pelajaran ke Timur Tengah di dalam program Selangkah ke Bumi Anbiyak anjuran Sekateriat Isma Antara Bangsa di Port Dikson baru-baru ini untuk berkongsi maklumat dan pengalaman sekali gus memberi semangat kepada adik-adik .

Tahniah.. dan selamat kembali ke dunia ilmu kepada saudari Nabilah Huda. Beliau telah selamat berlepas pada selasa 26 mei yang lepas dari lapangan terbang KLIA yang juga di temani oleh kedua ibu bapanya.

Penyakit kronik yang beliau hadapi tidak menghalang beliau dari meneruskan cita-cita murni untuk menuntut ilmu dan meneruskan tarbiyyah dibumi Jordan. Sesungguhnya penyakit itu daripada Allah, maka Allah jua yang akan meyembuhkan dan mempermudahkan.

Wajahnya sentiasa ceria dengan raut wajah yang sentiasa tersenyum menambahkan keyakinan kepada kedua ibu bapanya untuk melepaskan beliau terbang ke luar negara.

Kami dari pihak wanita ISMA mendoakan kepada saudari Nabilah Huda dan rakan-rakan pelajar di Jordan agar sentiasa berada di dalam rahmat Allah, dan mengharapkan mereka akan pulang dengan selamat setelah tamat pengajian nanti . Mereka bakal menaburkan mutiara-mutiara ilmu untuk dikongsikan dan menjadi muslimah daieyah yang akan berbakti di bumi Malaysia.

No comments:

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH...
Perjalanan ini masih jauh.. langkah perlu diatur dengan teliti. Kuatkan semangatmu, cekalkan hati agar mampu mengadap Allah Rabbul izzati dengan jiwa yang tenang bersama kemenangan atau syahid!!